Archive for February, 2009

Sujud yang memerdekakan

Posted in 1 on 25/02/2009 by hazaana

Tekanan hidup, hutang bertimbun, dengki, masalah sana-sini, kerja banyak semua adalah belengu-belengu dunia ini yang cukup merimaskan. Ia pasti datang bersama dengan kelazatan nikmat dunia yang sementara. Begitulah lumrah kehidupan ini, yang makin tenggelam dengan keseronokan dunia adalah yang paling banyak belengu dunianya. Siapa sangka, orang yang paling kaya adalah orang yang paling susah menderma kerana takut habis duit, orang yang paling pandai adalah orang yang paling susah hendak tunjuk ajar. Itulah dunia yang penuh dengan tipu daya.

Keseronokan yang sekejap tidak akan pernah puas. Syaitan akan sentiasa menambahbaikkan perasaan inginkan keseronokan yang sekejap itu. Tetapi disebabkan sifatnya yang sekejap dan fana’ menyebabkan hati menjadi bosan. Hati yang bosan dengan segera mencari-cari punca yang boleh menyeronokkan hati. Hati yang hilang punca akan mencapai segala apa bentuk keseronokan. Maka bertambah-tambahlah keseronokan sekejap yang pelbagai itu, dari games ke tidur berlebihan, dari couples ke boros tak tentu hala. Hati bertambah bosan, sakit, kering dan gelap.

Sesungguhnya hati yang sakit memerlukan ubat yang puncanya hanya satu. Hati memerlukan hubungan yang langsung kepada Penciptanya. Bersujudlah kepada Allah dengan seikhlas yang mungkin, nescaya ia akan memerdekanmu dari segala belengu, nescaya ia akan menenangkan hatimu dari kebosanan nikmat duniawi. Bersujudlah bersama air mata taubat, kerana ia membasuh daki-daki hitam di hati. Tundukmu kepada Allah mengangkat darjatmu, menyeronokkan hatimu dan memudahkan hidupmu kerana nurNya mengalir dalam jiwamu. Betullah kata-kata seorang alim “Jika seorang yang duniawi menyangka syurganya adalah pada wang dinar, wanita dan istana yang tersergam, tetapi…syurga seorang yang beriman ialah pada mihrabnya”.

Hati yang beriman akan sentiasa mencari-cari waktu yang paling dekat dengan Penciptanya. Di sinilah madrasah malam memainkan peranannya. Sesungguhnya pada zaman awal Islam, mua’azzin menyeru “Wahai rijal malam, bersungguh-sungguhlah! Setiap suara(doa) tidak akan ditolak. Tidak bangun malam melainkan orang yang kuat azam dan kesungguhannya.” Begitulah hebatnya madrasah malam ini, ia menggetarkan jiwa-jiwa orang yang beriman, menyalakan obor kebenaran menerangi kegelapan jahiliyah. Bangunlah pada akhir malam, solatlah dan beristigfarlah dengan air mata. Kata Imam Hasan Al Banna “Minit-minit malam amat berharga. Janganlah kamu menjadikanya tidak bernilai dengan kealpaan kamu”.

Hidup ini cukup tenang dan mewah dengan keseronokan-keseronokan yang kekal. Setiap amalan yang dibuat pasti ada balasannya. Malah al-Fudhail bin ‘Iyadh pernah berkata “Syurga tidak pernah dihias sebagaimana ia dihias bagi ummat ini. Namun anda tidak melihat seorangpun yang merinduinya.” Marilah kita yang menjadi orang yang merinduinya.

Pelik melihat manusia bermati-matian mengejar nama, pangkat, gelaran dan kekayaan didunia yang sementara ni, padahal telah terbentang luas nama dan seluruh kekayaan yang kekal di akhirat kelak. Bila tengok isu Malaysia begitu gayanya, bila tengok isu Palestin begini pula. Dunia yang berbeza padahal umat yang satu. Mudah-mudahan kita celik dan peka.

Adakah aku ditinggalkan

Posted in 1 on 25/02/2009 by hazaana

Kadang-kadang terasa diri ini
Kosong, kering dan jemu
Ke sana ke mari sibuk setiap hari
Tapi tiada satu yg mengisi jiwa ini
Adakah aku ditinggalkan?

Kadang-kadang bila kulihat diri ini
Malas, degil dan liat
Amalan dahulu entah ke mana
Amalan yang dirancang tak jalan-jalan
Adakah aku ditinggalkan?

Kadang-kadang bila ku berdepan
Keluarga dan sahabat
Jiran dan masyarakat
Masing-masing menuntut hak dari ku
Dan aku tidak pandai memenuhi semua tuntutan
Adakah aku ditinggalkan?

Tapi aku lupa, aku ini hanya hamba
Tapi aku lupa, Allah Tuhan Yang Esa
Aku lupa, Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya
Selagimana hambaNya tidak meninggalkanNya
Ya Allah berilah kekuatan pada diri ini untuk mendekatiMu